Tuesday 28 April 2015

Riwayat Caitanya Mahaprabhu

Sri Krishna Chaitanya

Februari 4, 1486, adalah hari gerhana bulan. Semua penduduk pekan Nadia, di wilayah Bengal Barat, India telah berkumpul di sepanjang sungai Bhagirathi untuk bersembahyang, bermandi dan menyanyikan ‘Haribol’. Ketika itu, di Mayapur, di bawah sebatang pokok Neem, Sachi Devi melahirkan seorang anak yang sungguh comel. Bagi mengingati peristiwa di bawah pokok neem itu, Sachi memanggil anaknya sebagai “Nimai”. Selepas melihat carta lahir Nimai, dia diberikan nama “Vishvambara”.

Mayapur terletak di pekan Navadvip, lebih kurang 75 batu di bahagian utara Kolkata. Dalam kurun ke-15, Navadvip menjadi pusat perdagangan dan ilmu. Ramai pelajar dari seluruh benua India berkumpul di sini untuk mempelajari ilmu falsafah. Kebanyakan penduduk di sini hidup dengan kaya-raya. Kekayaan duniawi selalunya membuat manusia melupakan Tuhan. Masyarakat ketika ini hidup dengan bersuka-ria, meminum minuman keras.

Melihat keadaan masyarakat ketika, seorang pencinta Tuhan, Advaita Acharya, berdoa kepada Krishna, “Wahai Krishna! Manusia hanya akan mendapat kebebasan sekiranya Kau muncul kembali di bumi.” Setiap hari Advaita mempersembahkan daun tulasi dan air Ganges kepada Sri Krishna dan berdoa.


Jagannatha Misra, seorang pendeta miskin menyara hidupnya dengan mengajar Veda. Hidupnya alim dan sederhana. Nimai menghiburkan hati ibu bapanya serta semua jiran-jiran mereka. Melihat kecomelan dan telatah nakal Nimai, wanita-wanita di kejiranan mereka suka untuk bermain dengannya. mereka menganggapnya sebagai anak mereka sendiri dan dengan penuh kasih memanggilnya sebagai ‘Gauranga” (Yang berkulit putih). Apabila Nimai mula menangis, tiada apa yang dapat menghentikan tangisannya kecuali seseorang bernyanyi ‘Haribol’. Oleh itu, hampir sepanjang masa, “Haribol” dinyanyikan di rumah mereka.



Melihat carta lahirnya, mereka menamakan anak itu sebagai Vishvambhara.
Pada suatu hari, Nimai

Pada suatu hari, seorang tetamu brahmin telah datang ke rumah Jagannatha. Tetamu itu seorang pemuja Dewa Sri Krishna. Tetamu itu memasak makanan untuk sembahyang dan mula bermeditasi ke atas Sri Krishna. Ketika itu, Nimai menghabiskan makanan yang disediakan untuk sembahyang. Jagannatha Misra, meminta maaf kepada tetamunya dan memujuknya untuk memasak sekali lagi. Namun selepas memasak dan ketika mempersembahkan makanan itu,  Nimai sekali lagi menghabiskan makanan itu. Buat kali ketiga, tetamu itu memasak makanan untuk dipersembahkan kepada Sri Krishna. Hari telah malam dan semua orang lain di rumah telah tertidur. Kali ini, Nimai tampil di hadapan tetamu itu dan berkata, ‘Wahai brahmin! Kamu tidak sedar lagi? Akulah Sri Krishna pujaan hatimu.” Kemudian Nimai merestui Brahmin itu.

Semasa berumur lima tahun, Nimai dihantar ke sebuah Pathasala. Dalam masa yang singkat, Nimai mempelajari bahasa Bengali. Apabila dia mencapai umur lapan tahun, dia mula mempelajari bahasa Sanskrit dan ilmu retorik. Dia juga mula membaca buku-buku Veda dengan diri. 

Pada masa lapang, Nimai suka menyanyikan lagu-lagu suci dan menari dengan kawan-kawannya. Ada masanya Nimai bernyanyi sehingga dia melupakan keadaan di sekelilinginya. Pada suatu hari, mereka sedang menari dengan penuh bersemangat. Seorang lelaki tua yang melihat tarian mereka turut menyertai tarian budak-budak itu.

Keluarga Nimai mematuhi tradisi kasta Brahmin dengan ketat. Tindakan Nimai ada kalanya amat bertentangan dengan peraturan kasta mereka. Ini amat membimbangkan keluarganya kerana seorang yang melanggar tradisi akan dibuang kasta dan disinggir daripada masyakarat mereka. Kadang-kadang Nimai akan mengejek ibunya dengan melanggar peraturan kasta. Selepas mencemari tangannya dengan menyentuh orang kasta bawahan, dia akan cuba menyentuh ibunya untuk ‘mencemari’ ibunya. Dengan takut, Sachi akan berlari menjauhi Nimai. Apabila Sachi hendak menghukumnya dengan rotan, Nimai akan berlari ke tempat-tempat yang kotor yang ibunya tidak akan mendekati.    

Semasa Nimai berumur sepuluh tahun, abangnya Vishvarupa meninggalkan rumah mereka untuk menjadi seorang rahib. Tidak lama kemudian, bapanya juga meninggal dunia. Nimai kini menjadi satu-satunya harapan Sachi Devi. Disamping menjaga ibunya, Nimai juga meneruskan dengan pendidikannya dari rumah. Dalam jangka beberapa tahun sahaja, Nimai telah menguasai segala sastera agama dan falsafah agama. Ibunya menjodohkannya dengan Lakshmi Devi. Selepas berumahtangga, Nimai bertolak ke Bengal Timur, berdekatan sungai Padma untuk mencari rezeki sebagai seorang pendeta.

Beberapa lama kemudian, dia menerima khabar bahawa isterinya telah meninggal dunia akibat dipatuk ular. Nimai pulang ke Nadia untuk menenangkan hati ibunya dan meneruskan kerja sebagai seorang pendeta. Nama Nimai mula tersebar sebagai seorang pendeta yang hebat. Ramai pendeta datang untuk berdebat dengannya dan pulang dengan kekalahan.

Kesava Misra, seorang pendeta terkenal dari Kashmir datang ke Nadia untuk berdebat dengan Nimai. Mendengar berita kedatangan Kesava, semua pendeta-pendeta Nadia melarikan diri dari Nadia atas pelbagai alasan. Kesava bertemu dengan Nimai berdekatan Barokona Ghat di Nadia dan berdebat dengannya. Namun dalam masa yang singkat, Kesava terpaksa mengakui kekalahannya dan berundur dari Nadia. Khabar kekalahan Kesava tersebar di merata-rata tempat.

Nimai berkahwin semula dengan Vishnu Priya. Kemudian, Nimai dan pelajar-pelajarnya bertolak ke Gaya. Ketika Nimai berusia tujuh belas tahun dia mendapatkan mantera rohani daripada Ishvara Puri, seorang rahib Vaishnava. Selepas kembali ke Nadia, Nimai mendalami disiplin rohaninya. Kini dia telah hilang minat untuk berdebat atau berhujah. Siang dan malam dia mula menyanyikan lagu-lagu suci dan bercakap tentang Tuhan.

Perubahan pada pendeta Nimai mengagumkan semua orang di Nadia. Malah mereka juga, seperti terkena pukau, mula mengikut Nimai ke mana-mana sahaja dia pergi sambil menyanyikan ‘Haribol’. Setiap malam, mereka berkumpul dan menyanyikan lagu-lagu suci atau Sankirtana dengan muzik dan menari memikirkan tentang Tuhan. Ketika ini, Nityananda Prabhu, seorang pengajar mazhab Vaishnava tiba di Nadia dan menyertai kumpulan Nimai.

Amanat pertama Nimai kepada Nityananda dan Haridasa ialah: “Pergilah, sahabat-sahabatku. Pergi ke jalan-jalan di kota dan berjumpalah dengan semua orang. Suruh mereka untuk menyanyikan nama Hari dan menjalani kehidupan yang suci. Kemudian, setiap petang, datang kepadaku untuk melaporkan hasil ceramah kamu.”

Kini, seluruh pekan Nadia menjadi sebuah bazar ria. Nyanyian “Haribol” kedengaran di semua tempat.

Segelintir kecil golongan Brahmin yang konservatif tidak menyukai perubahan yang dibawa oleh kumpulan Sankirtana ini. Mereka juga berasa iri hati melihat kejayaan Nimai. “Apa yang pendeta Nimai sedang lakukan tidak ada dalam mana-mana Veda kita. Dia cuma menyebarkan suatu ajaran palsu.” Mereka membuat rancangan jahat dan melaporkan kepada pihak berkuasa. Nadia ketika itu berada di bawah pemerintah Muslim bernama Chand Kazi.

Selepas menerima aduan, Chand Kazi datang ke sebuah rumah di mana Sankirtana sedang dijalankan. Kazi memecahkan sebuah gendang di situ dan mengancam bahawa sekiranya Nimai dan kumpulannya tidak menghentikan Sankirtana mereka, dia akan memaksa mereka untuk memeluk Islam.

Mendengar ancaman Kazi, Nimai mengumpulkan semua pengikutnya. Setiap orang datang dengan sebatang obor dan sambil menyanyikan Sankirtana, mereka menuju ke rumah Kazi. Tiba di rumah Kazi, Nimai mula mengajarnya agama dan akhirnya menyentuh Kazi dengan lembut. Sentuhan Nimai, membawa perubahan besar kepada Kazi. Seperti seorang yang mabuk, dia menangis dan bernyanyi Haribol. Kejadian hebat ini makin menarik perhatian orang ramai untuk menyertai Sankirtana Nimai.

Bukan senang untuk menghapuskan perasaan iri hati. Sekumpulan Brahmin yang tidak suka akan kejayaan Nimai, mula berkomplot dan cuba untuk menentangnya. Nimai sedar bahawa ajarannya tidak akan berkembang sekiranya dia berada di Nadia sebagai seorang lelaki yang berumah tangga. Oleh itu, tanpa pengetahuan sesiapapun Nimai bertolak ke Katwa dan mengambil ikrar Sannyasa daripada Keshava Bharati. Selepas ini, Nimai dikenali dengan nama Krishna Chaitanya (yang membangkitkan kesedaran Tuhan dalam hati manusia).

Tindakan Nimai walaupun menyedihkan hati ibu dan isterinya, Nimai kini tidak lagi terikat dengan sistem sosial dan kasta. Sebagai seorang rahib, kini dia bebas untuk mengajar agama sambil merantau dari tempat ke tempat. Seorang pengikutnya menjemputnya ke Shantipur berdekatan Nadia. Nimai berada di Shantipur bersama-sama pengikutnya apabila Sachi Devi datang ke tempat itu untuk melawatnya. Melihat ibunya yang tua, Nimai sujud di depannya dan berkata, “Jasad ini telah diberikan oleh ibu. Sekarang izinkan saya untuk pergi ke Vrindavan demi menyebarkan nama Krishna.”

Vrindavan terletak sangat jauh dari Nadia. Sachi tidak sanggup berpisah dengan anaknya. Oleh itu, dia menasihatkan Nimai untuk pergi ke Puri. “Sekurang-kurangnya ibu masih boleh menerima berita tentangmu dari sana.”

Selepas mendapatkan restu ibunya, Chaitanya berpindah ke pekan Puri, di negeri Orissa.
Selepas melawat kuil Jagannatha di Puri, Chaitanya menetap di rumah Sarvabhauma.

Sarvabhauma ialah seorang pendeta falsafah Advaita yang terkenal pada zaman itu. Bagi menguji ilmu Chaitanya dia mula membaca dan menerangkan Vedanta Sutra selama tujuh hari tanpa berhenti. Chaitanya mendengar bacaan itu tanpa berkata. Pada malam ketujuh, selepas bacaan dan penerangan Sarvabhauma berakhir, Chaitanya berkata bahawa beliau memahami Vedanta Sutra tetapi penerangan Sarvabhauma mengelirukannya. Kemudian Chaitanya menerangkan Vedanta Sutra dengan ringkas dan mudah. Melihat kehebatan ilmu Chaitanya, Sarvabhauma menjadi pengikutnya.

Seterusnya, Chaitanya merantau di selatan India dan kembali ke Puri selepas dua tahun. Chaitanya menyebarkan Prema-Bhakti iaitu cinta untuk Tuhan.


No comments:

Post a Comment