Monday 31 August 2015

Biografi Ringkas Caitanya Mahaprabhu


Śrī Kṛṣṇa Caitanya (juga dieja sebagai Sri Krishna Caitanya) atau Śrī Caitanya Mahāprabhu (1486 –1533) merupakan seorang rahib Hindu kurun ke-16. Caitanya dianggap sebagai pelopor pergerakan Kṛṣṇa Bhakti (Krishna Bhakti) dan salah seorang tokoh utama Gaudiya Vaishnavisme


Caitanya merupakan tokoh utama mazhab Bhakti iaitu cinta untuk Tuhan berasaskan kepada falsafah Bhagavata Purana dan Bhagavad Gita, yang mengutarakan falsafahVedanta yang dikenali sebagai Achintya Bhedā BhedaSri Krishna merupakan Dewa pilihan Caitanya dan dia telah memulakan nyanyian suci mantera Hare Krishna dan menghasilkan karya Sanskrit bernama Śikṣāṣṭakam atau Caitanyaśikṣāṣṭaka (Lapan Ayat Suci untuk Penuntut). Caitanya juga dipuja sebagai jelmaan Śrī Kṛṣṇa dan ŚrīmatiRadhārani dalam satu jasad. Caitanya juga dikenali sebagai Gauranga (atau Gora) dan Nimāi.  

Kehendak Zaman
Navadvīp terletak lebih kurang 75 batu di utara Kolkata, di sisir sungai Ganga di daerah Nadia. Dalam kurun ke-15, Navadvip merupakan sebuah pekan yang besar yang menjadi pusat perdagangan dan ilmu. Navya-Nyaya, sebuah sistem logik yang baru, yang telah lahir di Mithila, telah diperkenalkan di Nadia sebelum itu. Sistem ini telah diperkembangkan oleh ramai pendeta-pendeta, yang diketuai oleh Gangesa (lebih kurang 1200 Masihi). Penuntut-penuntut dari serata benua India, datang ke Navadvip untuk mempelajari Nyaya. Masyarakat Nadia yang kaya-raya menyokong dan membantu perkembangan ilmu di pekan ini.
Menjelang kurun ke-15, meskipun Nadia menjadi pusat ilmu pengetahuan, perkembangan kerohanian hampir telah terencat. Disebabkan kejatuhan agama Tantra, arak dan daging menjadi satu kebiasaaan. Malah dalam kalangan pendeta Brahmin juga, agama telah menjadi hanya ritualisme yang hambar tanpa sebarang disiplin moral atau kerohanian. Pendeta-pendeta yang bongkak dengan ilmu, melupakan diri dengan arak dan kehidupan berfoya-foya. Meskipun agama Vaishnava merupakan agama utama di Nadia, cinta atau Bhakti kepada Tuhan telah dilupakan.
Keadaan ini amat menyedihkan seorang pencinta Tuhan yang sejati bernama Advaita Acharya. Beliau berdoa kepada Sri Krishna untuk mengembalikan cinta ketuhanan di hati penduduk Nadia. "Wahai Krishna, jika Kau menjelma semula,barulah manusia dapat diselamatkan!" Demikian, Advaita Acharya sering berdoa. Mendengar doa ikhlas ini, Tuhan menjelma sebagai Śrī Caitanya Mahāprabhu.

Kelahiran dan Zaman Kanak-kanak

Śrī Kṛṣṇa Caitanya telah lahir pada 4 Februari 1486, pada hari bulan purnama di Mayapur, di pekan Navadvīp di Bengal, India. Ayahnya, Sri Jagannath Misra, merupakan seorang pendeta di Navadvīp dan ibunya bernama Śacī Devi. Jagannath Misra dan Śacī mempunyai lapan orang anak perempuan dan seorang anak lelaki bernama Visveswara. Kesemua anak perempuan mereka telah meninggal dunia. Caitanya lahir sebagai anak kesepuluh. Visveswara menjadi seorang rahib ketika berumur enam belas tahun. Jagannath Misra menamakan anak kesepuluhnya sebagai Vishvambara menurut carta kelahirannya. Śacī pula, menamakannya sebagai Nimāi. Namun, semasa upacara Upanayana, Nimāi dinamakan sebagai Gauranga kerana kulitnya yang cerah.
Zaman kanak-kanak Nimāi penuh dengan kenakalan. Beberapa peristiwa yang berlaku meningatkan zaman kanak-kanak Sri Krishna. Nimai juga seorang yang sangat bijak lagi cekap. Memorinya yang tajam amat mengagumkan. Beberapa tanda-tanda luar biasa sering kelihatan pada badannya. Ketika Nimāi sedang tidur, suatu aura seperti cahaya bulan terapung atas badannya. Śacī khuatir anaknya telah dirasuki roh jahat. Selepas berunding dengan seorang bomoh, dia bernazab untuk mempersembahkan makanan kepada Dewi Saṣṭi untuk menyelamatkan anaknya. Ketika Śacī membawa persembahan untuk Dewi itu, Nimāi merampas makanan itu dan memakannya. Pada suatu hari yang lain, Nimāi menangis tanpa henti. Akhirnya, dia berkata bahawa dia ingin memakan makanan yang telah dimasak oleh dua orang Brahmin bernama Jagadis dan Hiranya. Ibu bapanya terperanjat mendengar permintaan pelik Nimāi. Apabila Jagadis dan Hiranya mendengar tentang permintaan Nimāi, mereka bergegas ke rumahnya membawa makanan yang mereka telah sediakan untuk pemujaan.Mereka menyuap Nimāi, yakin bahawa Bala Gopala sedang memakan pemberian mereka.
Nimāi juga gemar bernyanyi lagu-lagu suci dan menari dengan kawan-kawannya.
Apabila Nimāi membesar, beb erapa tindakannya menyebabkan ibu bapanya terperanjat. Śacī mengikuti hukum kasta dengan ketat. Nimāi sering mengejek ibunya mengenai ini dengan melanggari hukum kasta dan berkata bahawa 'Kebersihan luaran adalah suatu delusi".
Ketika Nimāi berumur tujuh tahun, abangnya Viśveśvar yang berumur enam belas tahun, menjadi seorang rahib dan meninggalkan rumah mereka. Kejadian ini amat menyedihkan Jagannatha Misra dan Śacī. Nimāi juga menjadi sedikit serius selepas itu. Dia mula memberikan perhatian kepada pelajarannya. Nimāi seorang Śrutidhara (seorang yang mempunyai kuasa untuk memahami dan mengingati sesuatu yang didengarnya hanya sekali). Dalam masa yang singkat, dia menguasai pelajarannya. Semasa berumur sembilan tahun, Nimāi menerima benang sucinya dan memulakan pelajaran kitab suci Veda.

Zaman Remaja

Tidak lama selepas upacara Upanayana Nimāi, Jagannatha Misra meninggal dunia. Śacī menjadi ketua keluarga mereka dan dia menguruskan pendidikan Nimāi di bawah seorang pendeta terkenal bernama Pandit Gangadas. Nimāi menjadi pelajar terbaik Gangadas dan dia mengalahkan pelajar-pelajar lain dalam perdebatan. Selepas menguasai tatabahasa dan kesusasteraan Sanskrit, Nimāi mempelajari ilmu logik daripada seorang cendikiawan terkenal bernama Vāsudeva Sārvabhauma.
Ketika menamatkan pendidikan formal, Nimāi telah terkenal sebagai seorang pendeta yang hebat. Semasa berumur enam belas tahun, Nimāi memulakan sebuah ṭol (sekolah Sanskrit). Tidak lama kemudian, Nimāi berkahwin dengan Laksmi, anak Vallabhacharya, seorang pendeta terkenal.
Nimāi memulakan lawatan ke tempat-tempat lain untuk mengalahkan pendeta-pendeta di sana. Selepas kejayaannya sebagai seorang pendeta yang tiada tandingan, Nimāi pulang ke Nadia. Di sana, berita kematian isterinya menantinya. Lakshmi telah mati dipatuk ular. Nimāi, dengan tenang, meneruskan kerja di ṭol Sanskritnya. Namun, tidak lama kemudian, Śacī, sekali lagi mengatur pekahwinan Nimāi dengan Viṣṇupriya, gadis seorang pendeta terkenal yang kaya.

Lawatan ke Gaya dan Transformasi

Kumpulan Sankirtana Caitanya dan Nityananda
Beberapa lama selepas lawatannya, Nimāi melawat Gayā, tempat ibadat yang utama bagi Dewa Gadādhar (Viṣṇu). Semasa lawatan ini, selepas melakukan semua upacara agama, dia sedang bersembahyang di Viṣṇupāda (tempat yang mempunyai jejak tapak kaki Tuhan). Nimāi mendapat suatu pengalaman mistik yang ganjil yang menggubah dirinya. Dia mendesak Īśvara Purī (pengikut Mādhavendra Purī) yang telah berkenalan dengannya dan ketika itu berada di Gayā untuk memberinya mantera suci Kṛṣṇa. Īśvara Purī menerima Nimāi dan memberinya mantera suci itu. Peristiwa ini menggubah Nimāi sepenuhnya. Kini, dia merasakan penderitaan kaum Gopi akibat perpisahan dengan Śrī Kṛṣṇa. Demikian, berakhirnya kehidupan pendeta Nimāi dan seorang rasul cinta Śrī Kṛṣṇa lahir.
Selepas peristiwa di Gayā, Nimāi enggan untuk pulang ke Nadia. Dengan payah, pengikut-pengikutnya menasihatinya untuk berjumpa dengan ibunya. Kasih untuk ibunya, menghalang Nimāi daripada merantau ke Vṛndāvan. Apabila dia pulang ke Nadia, dia telah berubah sama sekali. Sehingga itu, dia seorang yang ceria dan penuh kenakalan. Kini, siang malam dia murung memikirkan tentang Śrī Kṛṣṇa. Bibirnya hanya menyebut 'Kṛṣṇa!'.

Pendedahan Diri

Perubahan ini amat merisaukan semua orang. Namun, pelajar-pelajarnya enggan untuk meninggalkannya. Atas permintaan mereka, Nimāi memulakan satu kumpulan Sankirtana.Tidak lama kemudian, pekan Nadia dibanjiri dengan nyanyian 'Hari-bol'.
Selepas ini, Nimāi sering mengalami keghairahan rohani, sehingga orang menganggapnya tidak siuman dan gila. Namun, kesaktian rohani yang terserlah pada dirinya, mengubah sesiapa sahaja yang disentuhnya. Dengan sentuhan sucinya, Nimāi menggubah ramai orang yang beriman mahupun kafir. Śrīvās seorang yang beriman, Advaitācārya pula seorang pendeta dan ketua masyarakat Vaiṣṇava, pemerintah Muslim bernama Kāzi, dua orang samseng bernama Jagāi dan Madhāi ialah antara orang-orang bertuah yang menerima rahmat Nimāi. Demikian, Nimāi mendedahkan rahsia kelahirannya untuk menghidupkan semula iman dan cinta ketuhanan yang tertinggi.
Menurut Caitanya-Bhagavat, pada suatu hari, Caitanya memberitahu Advaita Acharya berulang kali bahawa dia akan lahir semula dan melakonkan Lila-Nya kembali, dan dalam kelahiran itu, dia akan menarik ramai orang dengan nyanyiannya.[1]
Ketika ini, Caitanya mendapat pengikut setia dan temannya Nityānanda atau Nitāi. Haridās (seorang Muslim) dan Murāri Gupta ialah antara pengikut-pengikut setianya.

Menjadi Rahib

Dengan mendapatkan restu ibu dan kebenaran isterinya, Caitanya mengambil ikrar Saṁnyāsa dan menjadi seorang rahib. Dari Navadvīp, dia bertolak ke Kaṭva di mana seorang rahib hebat bernama Keśava Bhāratī berada. Bagi membuktikan kelayakannya untuk mengambil ikrar Saṁnyāsa, Caitanya meletakkan sedikit gula di atas lidahnya untuk beberapa lama tanpa menunjukkan sebarang tanda mencair. Keśava Bhāratī memyempurnakan upacara ikrar Saṁnyāsa dan menamakan Nimai sebagai Śrī Kṛṣṇa Caitanya.
Selepas menjadi seorang rahib, Caitanya bertemu dengan ibunya dan meluahkan hasratnya untuk pergi ke Vṛndāvan. Namun, atas rayuan ibunya, Caitanya berjanji untuk tinggal di Nīlācal (Jagannātha Purī) di Orissa kerana tempat itu lebih dekat dengan Navadvīp berbanding Vṛndāvan.

Di Jagannātha Purī

Selepas mengambil ikrar Saṁnyāsa, Caitanya bertolak ke Jagannātha Purī. Ini ialah lawatan pertamanya ke tempat itu. Salah satu peristiwa penting yang berlaku di sini ialah penukaran Vāsudeva Sārvabhauma, seorang pendeta hebat zaman itu. Sārvabhauma meninggalkan kepercayaan kepada falsafah Advaita Vedanta dan menjadi seorang Bhakta atau pemuja Śrī Kṛṣṇa.
Yogapith, Mayapur Yogapith, kuil Chaitanya Mahaprabhu di tempat lahirnya di Mayapur, West Bengal, dibina dalam tahun 1880-an oleh Bhaktivinoda Thakur

Lawatan ke India Selatan

Beberapa lama kemudian, Caitanya memulakan perjalanan ke India Selatan. Dalam lawatan ibadah ini yang mengambil masa dua tahun, dia melawat Kanyākumārī (di Tamil Nadu) dan Uḍupi (di Karnataka). Pada masa ini juga, dia bertemu dengan Rāmānanda Roy, gabenor Vidyānagara (di Andhra Pradesh) di bawah pemerintahan raja Kalinga (Orissa) Pratāparudra. Dengan pengaruh Caitanya, Rāmānanda menjadi seorang pemuja Śrī Kṛṣṇa. Raja Pratāparudra juga tertarik dengan personaliti Caitanya, menjadi pengikutnya.
Dalam perjalanan dari Kanyakumari, Caitanya melawat kuil Adi-Kesava di Travancore. Di kuil ini, dia menemui sebuah karya unik bernama Brahma Samhitā. Karya tersebut mengandungi semua dogma dan amalan Vaisnava dengan ringkas. Caitanya menyalin karya itu dan membawanya sebagai satu harta yang tidak ternilai. Satu lagi karya yang ditemuinya semasa merantau di India barat ialah karya Kṛṣṇa-Karṇāmṛta. Selain daripada Bhāgavata, Caitanya amat menggemari Kṛṣṇa Karṇāmṛta dan Brahma Samhitā.[2]
Selepas kembali ke Purī, Caitanya menyertai perayaan Rathayātrā Dewa Jagannātha yang terkenal. Selepas itu, dia melawat Vṛndāvan dan lain-lain tempat di India Utara seperti Varanasi (Kasi) dan Prayag. Dalam lawatan ini, Caitanya mendapat tiga orang pengikut utamanya, Rūpa Gosvāmin, Sanātana Gosvāmin dan Jīva Gosvāmin. Ketiga-tiga pengikut ini memainkan peranan utama dalam membentuk falsafah Acintya Bhedā Bheda.
Pada masa Caitanya melawat Vṛndāvan di mana Śrī Kṛṣṇa menghabiskan zaman kanak-kanaknya, tempat itu berada dalam keadaan terbiar. Atas arahan Caitanya, Sanātana Gosvāmin mencari dan mengambil alih semua tempat-tempat yang berkaitan dengan riwayat Śrī Kṛṣṇa. Atas usaha ini, tempat-tempat suci itu dibaik pulih dan dibuka untuk lawatan ibadah para pemuja.
Pada masa ini juga, Vallabhācārya (1473-1531 Masihi), seorang guru Vaiṣnava terkenal bertemu dengan Caitanya di Vṛndāvan.

Kesudahan

Caitanya Mahāprabhu menghabiskan tiga atau empat belas tahun akhirnya di Purī. Pada masa ini, dia sering berada dalam keghairahan rohani Kṛṣṇabhakti (seperti cinta Radha untuk Kṛṣṇa). Oleh itu, seseorang perlu berada bersama-samanya untuk menjaganya. Tugas ini diambil oleh Raghunāth Dās dan Svarūp Dāmodar.
Meskipun Caitanya seorang pendeta yang hebat, dia tidak meninggalkan sebarang karya kecuali dua buah puisi suci - Caitanyaśikṣāṣṭaka dan Jagannāthastotra.
Terdapat dua versi tentang kesudahan kisah Caitanya. Menurut versi pertama,Caitanya telah memasuki berhala Jagannatha di kuil. Versi kedua pula menyatakan bahawa dia turun ke dalam laut dan ghaib. Sejarahwan Jadunāth Sarkār menyatakan bahawa tarikh sebenar Caitanya meninggal dunia ialah 14 Jun 1533.
Peliknya, Caitanya-caritāmṛta tidak merekodkan apa-apa tentang kematian Caitanya. Ini menyebabkan kematian Caitanya menjadi satu misteri. Terdapat beberapa orang sejarahwan yang mengesyaki bahawa kemungkinan sesuatu perbuatan keji telah berlaku di kuil Jagannatha. Ramai dalam kalangan pegawai kuil itu cemburu dan menaruh perasaan dengki terhadap Caitanya. Kemungkinan mereka berkomplot dan membunuhnya. Bagi mengelakkan sebarang kontroversi, perkara tersebut mungkin telah disembunyikan.
Sebaik sahaja hidup Caitanya berakhir, semua pengikut dan temannya meninggalkan Puri dan berpindah ke Vrindavan. Krishna-Kirtana yang telah kedengaran di kuil Puri setiap hari juga dihentikan selama lima puluh tahun.[3]
Swami Vivekananda memujinya begini:
".... Baginda salah seorang guru Bhakti yang terhebat di dunia – Caitanya gila. Bhaktinya membanjiri seluruh bumi Bengal dengan membawa ketenangan untuk semua orang. Cintanya tidak mengenal had. Orang alim, pendosa, Hindu atau Muslim, orang yang suci mahupun tidak suci, dan pelacur – semua orang mendapat bahagian dalam kasih sayangnya, semua orang mendapat bahagian daripada simpatinya. Malah sehingga ke hari ini, meskipun mazhabnya telah merosot, seperti semua yang dimakan masa, ia masih menjadi tempat berteduh untuk orang yang miskin, tertindas, orang terbuang, lemah, dan semua orang yang telah disingkirkan oleh masyarakat."

Sumbangan Caitanya Mahaprabhu

Penemuan Vrindavan

Tanpa Caitanya, Vrindavan tentu telah kekal sebagai sebuah hutan rimba. Vrindavan yang wujud hari ini adalah hasil penemuan Caitanya dan pengikut-pengikutnya. Apabila Caitanya melawat Vrindavan, ia hanya sebuah hutan yang terbiar. Dengan kesaktian rohaninya, Caitanya mengenalpasti tempat-tempat berhubung dengan hidup Sri Krishna. Kemudian, dia mengarahkan pengikutnya, Sanātana Gosvāmin untuk membaikpulih dan membina tempat-tempat itu. Caitanya juga merupakan orang pertama yang memahami maksud Vrindavan Lila oleh Sri Krishna.[4]

Memperkenalkan Bhakti dalam Tradisi Kerahiban

Sebelum Caitanya, kebanyakan golongan rahib mengikuti aliran Advaita Vedanta yang mengutamakan Ilmu. Di Benaras, rahib-rahib tradisional mempelajari teks Vedanta Sutras Badarayana dengan ulasan Sri Sankara. Semasa berada di Varanasi, Caitanya mengajar rahib-rahib ini bahawa maksud sebenar Vedanta Sutra Badarayana boleh difahami dengan menggunakan ulasan Badarayana sendiri. Menurut Chaitanya, Badarayana telah menulis Bhagavata Purana sebagai ulasan kepada Vedanta Sutranya. Oleh itu, golongan rahib digesa untuk mempelajari Bhagavata Purana demi memupuk Bhakti. Kehadiran Caitanya di Varanasi, mengubah ramai penduduknya untuk mengikuti jalan Bhakti.[5]

Menghidupkan Premābhakti

Sumbangan utama Caitanya kepada dunia kerohanian ialah ajaran Madhura Bhava atau Premābhakti.[6] Hidup Caitanya penuh dengan cinta dan kerinduan Radha untuk Krishna - secara teknikal, ini dikenali sebagai 'Premābhakti'. Kebanyakan Vaishnava Acharya lain hanya merujuk kepada Premābhakti dengan teragak-agak. Namun, Caitanya menyarankannya sebagai Bhakti yang terunggul. Dengan menjalani kehidupan sebagai seorang rahib yang sejati, Caitanya menunjukkan bahawa Premābhakti boleh menjadi satu disiplin rohani yang suci dan bebas daripada hawa nafsu atau kāma sepenuhnya.[7]Dalam hidupnya sendiri, Caitanya mengelakkan sebarang hubungan atau kaitan dengan kaum wanita. Malah, dia juga menegah pengikut-pengikut wanitanya untuk mendekatinya. Mereka hanya dibenarkan untuk melihatnya dari jauh. Pengikut-pengikutnya yang mengingkari disiplin ini, walaupun sedikit, dibuang daripada kumpulannya. Dengan mengajar keagungan nama Tuhan dan kepentingan hidup yang suci untuk menjadi kekasih Tuhan, Caitanya mengawal arus sensualisme yang melanda masyarakat ketika itu.[8] Menurut Swami Vivekananda"Śrī Caitanya mempunyai semangat pelepasan yang kuat. Perempuan dan hawa nafsu tidak ada tempat dalam hidupnya." [9]

Permulaan Tradisi Bhakti

Tradisi yang dimulakan oleh Caitanya diikuti dengan ketat oleh enam orang pengikutnya di Vṛndāvan. Enam Gosvāmīs (Ketua kuil) ini ialah Rūpa, Sanātana, Jīva, Gopāla Bhatta, Raghunātha Bhatta dan Raghunātha Dās. Selepas zaman Caitanya, Vṛndāvan di utara, Navadvīp, Bengal di timur dan Purī di tenggara menjadi pusat Caitanya Vaiṣṇavisme. Ketiga-tiga pusat ini melahirkan tradisi keagamaan dan teologi yang agak berbeza.
Di Bengal, pergerakan Vaiṣṇava berkembang lebih seperti sebuah kultus Caitanya, berbanding satu tradisi agama Sri Krishna. Sumbangan utama pergerakan ini ialah perkembangan muzik suci atau Kīrtan yang diiringi dengan mainan peralatan muzik dan tarian.
Kelemahan manusia biasa untuk memahami iman yang sebenar, secara beransur-ansur menyebabkan kejatuhan akhlak yang seterusnya menyebabkan amalan-amalan serong. Beberapa tradisi yang yang tidak bermoral tumbuh seperti Sahajīyas, Kartābhajas, Vairāgi-Vairāgiṇīs dan sebagainya.[10] Namun, kurun ke-19 telah membawa pembaharuan dalam tradisi Bhakti. Pergerakan ini telah berkembang ke negara-negara Barat disebabkan aktiviti-aktiviti keagamaan dan kerohanian yang dimulakan oleh pemimpin-pemimpin Kesedaran-Krishna yang dikenali sebagai Iskcon. Demikian, usaha Caitanya untuk menukar Premābhakti kepada satu pergerakan besar telah berkembang dari sempadan India ke seluruh dunia.

Ajaran Caitanya Mahaprabhu

Macam manakah orang-orang duniawi boleh mendapat kebebasan? Caitanya berkata, "Seperti seorang isteri yang tidak setia berfikir tentang buah hatinya sementara tinggal dengan keluarganya, lakukan kerja-kerja kamu dan dengan senyap sentiasa ingati Tuhan."
Pada penghujung hidupnya, Caitanya memanggil teman-temannya, Svarūp dan Rāmānanda Roy dan berkata:
"Dalam zaman Kali, Ubat yang paling mujarab ialah Sankirtana nama Kṛṣṇa. Ia sama seperti upacara korban dalam Veda. Seorang yang melakukan korban ini dengan bersungguh-sungguh akan mencapai Tapak Teratai Kṛṣṇa. Dengan Sankirtana, manusia boleh membebaskan diri daripada dosa dan dunia. Sankirtana menyucikan jiwa. Nyanyikan nama-Nya ketika makan, tidur, di sana, di sini, dan di mana-mana sahaja. Tidak ada had atau halangan untuk menyanyikan nama-Nya. Nama-Nya mempunyai segala kesaktian (Sarva-sakti)."
Apakah caranya untuk meningkatkan minat terhadap nama-Nya? Seorang pencinta Tuhan, tanpa mengendahkan taraf dan statusnya, mestilah berendah diri seperti rumput. Dia mestilah sabar seperti pokok yang tidak merungut walaupun ketika ia ditebang atau meminta air walaupun ia sedang mati semasa kemarau, tetapi ia memberikan semua bahagiannya, menahan pancaran matahari dan hujan, tetapi memberi teduhan kepada orang lain. Seorang Vaishnava, tidak harus sombong akan kedudukannya. Dia mesti menghormati semua mahkluk hidup. Orang yang menyanyikan nama Krishna dengan cara ini, akan mendapat Prema.
Menurut Swami Vivekananda"Vaiṣṇavisme mengajar bahawa 'tidak salah untuk menyayangi ibu, bapa, abang, suami, atau anak! Ianya tidak salah, jika kamu menganggap anak itu sebagai Kṛṣṇa atau apabila kamu memberinya makan, berfikir bahawa kamu sedang menyuap Kṛṣṇa!' Laungan Caitanya ialah, 'Pujalah Tuhan dengan pancaindera', bertentangan dengan Vedanta yang melaungkan, 'Kawallah pancaindera! Halang pancaindera!'"[11]

Pengaruh Caitanya

Selain pengaruhnya terhadap agama Hindu, Caitanya telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap kebudayaan di Bengal dan Orissa. Di Bengal dan Orissa, terutamanya, Caitanya dipuja sebagai seorang jelmaan Śrī Kṛṣṇa. Dia juga dikaitkan dengan gerakan Pembaharuan Bengal. Menurut Salimullah Khan, seorang ahli linguistik, "Kurun keenam belas merupakan zaman Caitanya Dev dan adalah permulaan Modenisasi Bengal."
Sebuah filem Bengali mengenai biografi Caitanya, Nilachaley Mahaprabhu (1957) telah diarahkan oleh Kartik Chattopadhyay.

Teks Utama

Caitanya Charanamrta

Ini ialah sebuah biografi Caitanya yang ditulis oleh Murari Gupta, seorang pengikut Caitanya. Karya ini tidak merakamkan bahagian akhir riwayat Caitanya, dan oleh itu dianggap tidak lengkap.

Caitanya-caritāmṛta

Riwayat Caitanya yang paling popular telah ditulis oleh Kṛṣṇa Dās Kavirāj (1517-1582) dalam bahasa Bengali dan Sanskrit. Kṛṣṇa Dās berpendidikan dalam Sanskrit dan Bahasa Persia. Semasa muda, Kṛṣṇa Dās banyak menulis dalam Bahasa Sanskrit. Atas permintaan golongan Vaishnava di Vrndavan, beliau menulis karya terulungnya, Caitanya-caritāmṛta, ketika usianya lanjut dan menyiapkannya pada 1581, setahun sebelum kematiannya.[12] Walaupun Kṛṣṇa Dās tidak pernah bertemu dengan Caitanya, beliau telah mendengar tentang riwayatnya daripada gurunya, Raghunāth Dās Gosvāmi (1494-1586), seorang teman dan pengikut setia Caitanya. Beliau juga mengumpul bahan-bahan daripada Caitanya Charanamrta oleh Murari Gupta dan biografi oleh Svarup Damodara yang telah mengenali Caitanya. Karya ini merakamkan riwayat penuh Caitanya dan juga memberikan falsafah Bhakti dengan terperinci. Caitanya-caritāmṛta juga menjadi teks Gaudiya Vaishnava yang mengandungi metafizik, ontologi dan estetik yang diperkembangkan oleh para Goswami.
Pada tahun 1970-an, A.C.Bhaktivedanta Swami Prabhupada, pengasas ISKCON (juga dikenali sebagai pergerakan Hare Krishna), telah menerbitkan edisi Inggeris dengan ulasannya dalam 17 jilid. Edisi ini telah diedarkan dengan luas di seluruh dunia.

Sri Caitanya Mahaprabhu - His Life, Religion & Philosophy

Ini ialah sebuah buku bahasa Inggeris oleh Swami Tapasyananda, seorang rahib Ramakrishna Order. Buku ini ialah sebenarnya petikan riwayat, agama dan falsafah Caitanya daripada 'Bhakti Schools of Vedanta' oleh Swami Tapasyananda. Pendapat yang popular ialah falsafah Vedanta dan Bhakti adalah bertentangan antara satu sama lain. Seringkali Vedanta dihubung kaitkan dengan falsafah Advaita Vedanta oleh Acharya Sri Sankara. Ajaran dan pengalaman Sri Ramakrishna dan Swami Vivekananda menunjukkan bahawa sebenarnya Bhakti juga adalah satu aspek Vedanta. Acharya-Acharya falsafah Bhakti seperti Sri RamanujaSri Madhva, Sri Nimbarka, Sri Vallabha, dan Sri Caitanya telah memperkayakan falsafah Vedanta dengan memberi interpretasi dan ulasan berlainan kepada Prasthanatraya.
Caitanya-caritāmṛta telah diterjemahkan oleh Jadunāth Sirkār, seorang sejarahwan dan pengikut fahaman Caitanya. Selain itu, Sisir Kumār Ghose telah mengeluarkan edisi ringkas bernama 'Lord Gauranga'.

Chaitanya Bhagavat

Biografi ini ditulis oleh Vrindavana Das.

Tuesday 28 April 2015

Riwayat Caitanya Mahaprabhu

Sri Krishna Chaitanya

Februari 4, 1486, adalah hari gerhana bulan. Semua penduduk pekan Nadia, di wilayah Bengal Barat, India telah berkumpul di sepanjang sungai Bhagirathi untuk bersembahyang, bermandi dan menyanyikan ‘Haribol’. Ketika itu, di Mayapur, di bawah sebatang pokok Neem, Sachi Devi melahirkan seorang anak yang sungguh comel. Bagi mengingati peristiwa di bawah pokok neem itu, Sachi memanggil anaknya sebagai “Nimai”. Selepas melihat carta lahir Nimai, dia diberikan nama “Vishvambara”.

Mayapur terletak di pekan Navadvip, lebih kurang 75 batu di bahagian utara Kolkata. Dalam kurun ke-15, Navadvip menjadi pusat perdagangan dan ilmu. Ramai pelajar dari seluruh benua India berkumpul di sini untuk mempelajari ilmu falsafah. Kebanyakan penduduk di sini hidup dengan kaya-raya. Kekayaan duniawi selalunya membuat manusia melupakan Tuhan. Masyarakat ketika ini hidup dengan bersuka-ria, meminum minuman keras.

Melihat keadaan masyarakat ketika, seorang pencinta Tuhan, Advaita Acharya, berdoa kepada Krishna, “Wahai Krishna! Manusia hanya akan mendapat kebebasan sekiranya Kau muncul kembali di bumi.” Setiap hari Advaita mempersembahkan daun tulasi dan air Ganges kepada Sri Krishna dan berdoa.


Jagannatha Misra, seorang pendeta miskin menyara hidupnya dengan mengajar Veda. Hidupnya alim dan sederhana. Nimai menghiburkan hati ibu bapanya serta semua jiran-jiran mereka. Melihat kecomelan dan telatah nakal Nimai, wanita-wanita di kejiranan mereka suka untuk bermain dengannya. mereka menganggapnya sebagai anak mereka sendiri dan dengan penuh kasih memanggilnya sebagai ‘Gauranga” (Yang berkulit putih). Apabila Nimai mula menangis, tiada apa yang dapat menghentikan tangisannya kecuali seseorang bernyanyi ‘Haribol’. Oleh itu, hampir sepanjang masa, “Haribol” dinyanyikan di rumah mereka.



Melihat carta lahirnya, mereka menamakan anak itu sebagai Vishvambhara.
Pada suatu hari, Nimai

Pada suatu hari, seorang tetamu brahmin telah datang ke rumah Jagannatha. Tetamu itu seorang pemuja Dewa Sri Krishna. Tetamu itu memasak makanan untuk sembahyang dan mula bermeditasi ke atas Sri Krishna. Ketika itu, Nimai menghabiskan makanan yang disediakan untuk sembahyang. Jagannatha Misra, meminta maaf kepada tetamunya dan memujuknya untuk memasak sekali lagi. Namun selepas memasak dan ketika mempersembahkan makanan itu,  Nimai sekali lagi menghabiskan makanan itu. Buat kali ketiga, tetamu itu memasak makanan untuk dipersembahkan kepada Sri Krishna. Hari telah malam dan semua orang lain di rumah telah tertidur. Kali ini, Nimai tampil di hadapan tetamu itu dan berkata, ‘Wahai brahmin! Kamu tidak sedar lagi? Akulah Sri Krishna pujaan hatimu.” Kemudian Nimai merestui Brahmin itu.

Semasa berumur lima tahun, Nimai dihantar ke sebuah Pathasala. Dalam masa yang singkat, Nimai mempelajari bahasa Bengali. Apabila dia mencapai umur lapan tahun, dia mula mempelajari bahasa Sanskrit dan ilmu retorik. Dia juga mula membaca buku-buku Veda dengan diri. 

Pada masa lapang, Nimai suka menyanyikan lagu-lagu suci dan menari dengan kawan-kawannya. Ada masanya Nimai bernyanyi sehingga dia melupakan keadaan di sekelilinginya. Pada suatu hari, mereka sedang menari dengan penuh bersemangat. Seorang lelaki tua yang melihat tarian mereka turut menyertai tarian budak-budak itu.

Keluarga Nimai mematuhi tradisi kasta Brahmin dengan ketat. Tindakan Nimai ada kalanya amat bertentangan dengan peraturan kasta mereka. Ini amat membimbangkan keluarganya kerana seorang yang melanggar tradisi akan dibuang kasta dan disinggir daripada masyakarat mereka. Kadang-kadang Nimai akan mengejek ibunya dengan melanggar peraturan kasta. Selepas mencemari tangannya dengan menyentuh orang kasta bawahan, dia akan cuba menyentuh ibunya untuk ‘mencemari’ ibunya. Dengan takut, Sachi akan berlari menjauhi Nimai. Apabila Sachi hendak menghukumnya dengan rotan, Nimai akan berlari ke tempat-tempat yang kotor yang ibunya tidak akan mendekati.    

Semasa Nimai berumur sepuluh tahun, abangnya Vishvarupa meninggalkan rumah mereka untuk menjadi seorang rahib. Tidak lama kemudian, bapanya juga meninggal dunia. Nimai kini menjadi satu-satunya harapan Sachi Devi. Disamping menjaga ibunya, Nimai juga meneruskan dengan pendidikannya dari rumah. Dalam jangka beberapa tahun sahaja, Nimai telah menguasai segala sastera agama dan falsafah agama. Ibunya menjodohkannya dengan Lakshmi Devi. Selepas berumahtangga, Nimai bertolak ke Bengal Timur, berdekatan sungai Padma untuk mencari rezeki sebagai seorang pendeta.

Beberapa lama kemudian, dia menerima khabar bahawa isterinya telah meninggal dunia akibat dipatuk ular. Nimai pulang ke Nadia untuk menenangkan hati ibunya dan meneruskan kerja sebagai seorang pendeta. Nama Nimai mula tersebar sebagai seorang pendeta yang hebat. Ramai pendeta datang untuk berdebat dengannya dan pulang dengan kekalahan.

Kesava Misra, seorang pendeta terkenal dari Kashmir datang ke Nadia untuk berdebat dengan Nimai. Mendengar berita kedatangan Kesava, semua pendeta-pendeta Nadia melarikan diri dari Nadia atas pelbagai alasan. Kesava bertemu dengan Nimai berdekatan Barokona Ghat di Nadia dan berdebat dengannya. Namun dalam masa yang singkat, Kesava terpaksa mengakui kekalahannya dan berundur dari Nadia. Khabar kekalahan Kesava tersebar di merata-rata tempat.

Nimai berkahwin semula dengan Vishnu Priya. Kemudian, Nimai dan pelajar-pelajarnya bertolak ke Gaya. Ketika Nimai berusia tujuh belas tahun dia mendapatkan mantera rohani daripada Ishvara Puri, seorang rahib Vaishnava. Selepas kembali ke Nadia, Nimai mendalami disiplin rohaninya. Kini dia telah hilang minat untuk berdebat atau berhujah. Siang dan malam dia mula menyanyikan lagu-lagu suci dan bercakap tentang Tuhan.

Perubahan pada pendeta Nimai mengagumkan semua orang di Nadia. Malah mereka juga, seperti terkena pukau, mula mengikut Nimai ke mana-mana sahaja dia pergi sambil menyanyikan ‘Haribol’. Setiap malam, mereka berkumpul dan menyanyikan lagu-lagu suci atau Sankirtana dengan muzik dan menari memikirkan tentang Tuhan. Ketika ini, Nityananda Prabhu, seorang pengajar mazhab Vaishnava tiba di Nadia dan menyertai kumpulan Nimai.

Amanat pertama Nimai kepada Nityananda dan Haridasa ialah: “Pergilah, sahabat-sahabatku. Pergi ke jalan-jalan di kota dan berjumpalah dengan semua orang. Suruh mereka untuk menyanyikan nama Hari dan menjalani kehidupan yang suci. Kemudian, setiap petang, datang kepadaku untuk melaporkan hasil ceramah kamu.”

Kini, seluruh pekan Nadia menjadi sebuah bazar ria. Nyanyian “Haribol” kedengaran di semua tempat.

Segelintir kecil golongan Brahmin yang konservatif tidak menyukai perubahan yang dibawa oleh kumpulan Sankirtana ini. Mereka juga berasa iri hati melihat kejayaan Nimai. “Apa yang pendeta Nimai sedang lakukan tidak ada dalam mana-mana Veda kita. Dia cuma menyebarkan suatu ajaran palsu.” Mereka membuat rancangan jahat dan melaporkan kepada pihak berkuasa. Nadia ketika itu berada di bawah pemerintah Muslim bernama Chand Kazi.

Selepas menerima aduan, Chand Kazi datang ke sebuah rumah di mana Sankirtana sedang dijalankan. Kazi memecahkan sebuah gendang di situ dan mengancam bahawa sekiranya Nimai dan kumpulannya tidak menghentikan Sankirtana mereka, dia akan memaksa mereka untuk memeluk Islam.

Mendengar ancaman Kazi, Nimai mengumpulkan semua pengikutnya. Setiap orang datang dengan sebatang obor dan sambil menyanyikan Sankirtana, mereka menuju ke rumah Kazi. Tiba di rumah Kazi, Nimai mula mengajarnya agama dan akhirnya menyentuh Kazi dengan lembut. Sentuhan Nimai, membawa perubahan besar kepada Kazi. Seperti seorang yang mabuk, dia menangis dan bernyanyi Haribol. Kejadian hebat ini makin menarik perhatian orang ramai untuk menyertai Sankirtana Nimai.

Bukan senang untuk menghapuskan perasaan iri hati. Sekumpulan Brahmin yang tidak suka akan kejayaan Nimai, mula berkomplot dan cuba untuk menentangnya. Nimai sedar bahawa ajarannya tidak akan berkembang sekiranya dia berada di Nadia sebagai seorang lelaki yang berumah tangga. Oleh itu, tanpa pengetahuan sesiapapun Nimai bertolak ke Katwa dan mengambil ikrar Sannyasa daripada Keshava Bharati. Selepas ini, Nimai dikenali dengan nama Krishna Chaitanya (yang membangkitkan kesedaran Tuhan dalam hati manusia).

Tindakan Nimai walaupun menyedihkan hati ibu dan isterinya, Nimai kini tidak lagi terikat dengan sistem sosial dan kasta. Sebagai seorang rahib, kini dia bebas untuk mengajar agama sambil merantau dari tempat ke tempat. Seorang pengikutnya menjemputnya ke Shantipur berdekatan Nadia. Nimai berada di Shantipur bersama-sama pengikutnya apabila Sachi Devi datang ke tempat itu untuk melawatnya. Melihat ibunya yang tua, Nimai sujud di depannya dan berkata, “Jasad ini telah diberikan oleh ibu. Sekarang izinkan saya untuk pergi ke Vrindavan demi menyebarkan nama Krishna.”

Vrindavan terletak sangat jauh dari Nadia. Sachi tidak sanggup berpisah dengan anaknya. Oleh itu, dia menasihatkan Nimai untuk pergi ke Puri. “Sekurang-kurangnya ibu masih boleh menerima berita tentangmu dari sana.”

Selepas mendapatkan restu ibunya, Chaitanya berpindah ke pekan Puri, di negeri Orissa.
Selepas melawat kuil Jagannatha di Puri, Chaitanya menetap di rumah Sarvabhauma.

Sarvabhauma ialah seorang pendeta falsafah Advaita yang terkenal pada zaman itu. Bagi menguji ilmu Chaitanya dia mula membaca dan menerangkan Vedanta Sutra selama tujuh hari tanpa berhenti. Chaitanya mendengar bacaan itu tanpa berkata. Pada malam ketujuh, selepas bacaan dan penerangan Sarvabhauma berakhir, Chaitanya berkata bahawa beliau memahami Vedanta Sutra tetapi penerangan Sarvabhauma mengelirukannya. Kemudian Chaitanya menerangkan Vedanta Sutra dengan ringkas dan mudah. Melihat kehebatan ilmu Chaitanya, Sarvabhauma menjadi pengikutnya.

Seterusnya, Chaitanya merantau di selatan India dan kembali ke Puri selepas dua tahun. Chaitanya menyebarkan Prema-Bhakti iaitu cinta untuk Tuhan.